Bab 16 / 19

Taharah dan Solat dalam Perjalanan

Wuduk, termasuk dengan penyembur air, perkara yang membatalkannya, dan rukhsah semasa kesesakan; tayammum dan menyapu balutan (jabirah); kemudian solat, syarat, rukun, sunat dan perkara yang membatalkannya, solat jenazah, solat Jumaat bagi wanita, solat menghormati waktu, masbuq dan muwafiq, solat ketika sakit, qasar dan jamak, serta hukum jamak di Arafah dan Mina.

Jemaah mengambil wuduk. Di masya'ir, air terhad: belajarlah berwuduk dengan sempurna menggunakan botol kecil.
Jemaah mengambil wuduk. Di masya'ir, air terhad: belajarlah berwuduk dengan sempurna menggunakan botol kecil.Gambar: np&djjewell · CC BY 2.0

Wuduk

Wuduk bermaksud membasuh anggota tertentu dengan air dan dilaksanakan mengikut cara tertentu dengan niat berwuduk (Surah al-Ma'idah 5:6).

Ayat wuduk (maksud)

Maksud Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka berwuduklah, iaitu basuhlah muka kamu dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

Surah al-Ma'idah 5:6

Rukun wuduk

  1. Niat: ketika mula membasuh muka.
  2. Membasuh muka mengikut hadnya.
  3. Membasuh dua tangan hingga ke siku.
  4. Menyapu kepala dengan air, sekurang-kurangnya tiga helai rambut pada had kepala.
  5. Membasuh dua kaki hingga ke dua buku lali.
  6. Tertib.

Lokasi dan kaedah berwuduk

Anda perlu berwuduk di dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, dalam perjalanan atau kenderaan, dan di Arafah, Muzdalifah serta Mina. Boleh guna penyembur air atau botol air, dengan syarat air mengalir, sekurang-kurangnya tiga titis pada setiap anggota.

Amalan sunat wuduk

  1. Bersugi.
  2. Mengadap kiblat.
  3. Membaca basmalah.
  4. Mencuci dua tapak tangan hingga ke pergelangan tangan.
  5. Berkumur-kumur.
  6. Menyedut air ke dalam hidung.
  7. Menyapu air ke seluruh kepala.
  8. Menyapu air ke seluruh telinga, luar dan dalam.
  9. Menyelati janggut yang tebal.
  10. Menyelati jari tangan dan kaki.
  11. Mendahulukan anggota kanan daripada anggota kiri.
  12. Membasuh dan menyapu sebanyak tiga kali.
  13. Muwalat (berturutan).
  14. Membaca doa selepas berwuduk.
Doa selepas berwuduk

أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلٰهَ إِلَّا اللّٰهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، اللّٰهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنِي مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ

Bacaan Ash-hadu an lā ilāha illallāhu waḥdahū lā sharīka lah, wa ash-hadu anna Muḥammadan ʿabduhū wa rasūluh. Allāhummajʿalnī minat-tawwābīna wajʿalnī minal-mutaṭahhirīn.

Maksud Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu hamba-Nya dan Rasul-Nya. Ya Allah, jadikanlah aku daripada golongan orang yang bertaubat dan jadikanlah aku daripada golongan orang yang menyucikan diri.

Perkara yang membatalkan wuduk

  1. Keluar sesuatu sama ada benda keras, cecair, angin dan sebagainya daripada dua jalan, qubul atau dubur.
  2. Hilang ingatan dengan sebab gila, pengsan, mabuk, pitam atau tidur yang tidak tetap kedudukan punggungnya.
  3. Bersentuh kulit antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya dengan tidak berlapik.
  4. Menyentuh kemaluan (qubul dan dubur) dengan tapak tangan atau perut anak jari, sama ada kemaluan sendiri atau orang lain.
  5. Murtad (keluar daripada Islam).

Wuduk semasa di Tanah Suci: rukhsah ketika kesesakan

  • Hukum asal: bersentuhan lelaki dengan perempuan yang halal nikah tanpa lapik membatalkan wuduk.
  • Namun ada rukhsah: keringanan yang Allah berikan kepada umat Islam dalam melaksanakan perintah-Nya di saat-saat darurah, masyaqqah atau hajah.
  • Azimah ialah suatu kemestian melaksanakan perintah Allah dalam apa jua keadaan sekalipun, contohnya, wajib berwuduk semasa tawaf dan solat.
  • Oleh itu boleh beralih daripada pendapat Syafi'i yang masyhur kepada pendapat Syafi'i yang marjuh: tidak batal wuduk jika berlaku persentuhan lelaki dan perempuan tanpa syahwat dalam masyaqqah dan haraj seperti kesesakan di tempat tawaf.

Keputusan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan kali ke-21 (5–7 Jun 2005, Shah Alam) dan kali ke-22.

Pendapat ini diguna pakai ketika:

  1. bermula dari keluar bangunan penginapan seterusnya hingga ketika di dalam Masjidil Haram atau Masjid Nabawi; dan
  2. ketika berada dalam keadaan masyaqqah seperti menaiki pesawat atau bas, sepanjang tempoh mengerjakan haji atau umrah sahaja.

Ia sah diguna pakai untuk tawaf dan sebagainya selagi wuduk tidak terbatal dengan sebab lain mengikut Mazhab Syafi'i, contohnya keluar angin daripada qubul atau dubur.

Tayammum

Tayammum ialah menyapu debu tanah yang bersih ke muka dan kedua-dua tangan sampai ke siku, menggunakan debu yang suci dengan beberapa syarat, sebagai ganti kepada wuduk atau mandi wajib.

Keuzuran yang mengizinkan tayammum

  1. Ketiadaan air.
  2. Ada air tetapi tidak dapat digunakan kerana sukar mengambilnya, atau untuk kegunaan makan dan minum, atau harganya mahal.
  3. Sakit yang mudarat jika digunakan air.

Syarat-syarat tayammum

  1. Sudah masuk waktu solat fardu.
  2. Tidak mendapat air setelah berusaha mencari.
  3. Dengan debu yang suci.
  4. Tidak boleh menggunakan air disebabkan sakit.
  5. Suci daripada najis.

Rukun tayammum

  1. Niat, dengan lafaz: "Sahaja aku bertayammum untuk membolehkanku mengerjakan solat kerana Allah Ta'ala."
  2. Mengusap muka dan dua tangan sampai ke siku sekali dengan debu tanah yang suci.
  3. Meratakan debu ke seluruh anggota tayammum, iaitu muka dan kedua-dua tangan.
  4. Tertib.

Cara tayammum

  1. Letakkan dua belah tangan di atas debu dan nipiskannya.
  2. Sapu ke muka dengan debu tersebut.
  3. Sapu kedua-dua belah tangan sampai ke siku dengan debu.
  4. Tertib.

Anggota tayammum hanyalah muka dan dua tangan (hingga ke siku); kaki tidak termasuk anggota tayammum.

Menyapu balutan (jabirah)

  1. Jabirah bermaksud menyapu air di atas balutan atau simen atau seumpamanya bagi anggota wuduk ketika berwuduk.
  2. Ia diqiaskan kepada hukum menyapu atas khuf (sarung kaki yang digunakan di sesetengah tempat bermusim sejuk) dan serban.
  3. Hal yang sama berlaku pada tempat patah yang disimen, balutan kepala atau tempat darah keluar, balutan kudis, balutan luka akibat pembedahan dan sebagainya.

Caranya:

  1. Membasuh anggota wuduk yang sihat dan menyapu pada jabirahnya.
  2. Digalakkan mengulang (i'adah) solat yang dilakukan dengan wuduk sahibul jabirah.

Muzakarah Haji kali ke-20 (Melaka).

Solat

Solat ialah satu ibadat yang menghubungkan hamba dengan Tuhannya, mengandungi beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam.

Amalan pertama yang dihisab

Maksud "Amalan yang pertama dihisab (oleh Allah) atas seseorang hamba pada Hari Kiamat nanti ialah solat. Jika solat seseorang baik, baiklah pula seluruh amalannya, dan begitulah sebaliknya."

Hadis riwayat al-Tabarani

Syarat-syarat sah solat

  1. Islam.
  2. Berakal.
  3. Suci daripada hadas kecil dan besar.
  4. Suci daripada najis pada badan, pakaian dan tempat.
  5. Yakin masuk waktu.
  6. Mengadap kiblat.
  7. Menutup aurat.
  8. Mengetahui fardu dan sunat.
  9. Tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan solat.

Rukun solat 13 perkara

  1. Niat.
  2. Takbiratul ihram.
  3. Berdiri bagi yang mampu.
  4. Membaca Surah al-Fatihah.
  5. Rukuk dengan tama'ninah, tenang dan tertib, tidak terburu-buru.
  6. I'tidal dengan tama'ninah.
  7. Sujud dua kali dengan tama'ninah.
  8. Duduk antara dua sujud dengan tama'ninah.
  9. Membaca tasyahhud akhir.
  10. Duduk tasyahhud akhir.
  11. Selawat atas Nabi SAW dalam tasyahhud akhir.
  12. Membaca salam.
  13. Tertib.

Sunat ab'ad

Amalan sunat yang dikuatkan dalam solat; jika tertinggal, disunatkan menggantinya dengan sujud sahwi.

  1. Membaca tahiyyat awal.
  2. Membaca selawat semasa tahiyyat awal.
  3. Membaca selawat untuk keluarga Nabi Muhammad SAW ketika tahiyyat akhir.
  4. Membaca doa qunut pada solat Subuh, dan solat Witir pada malam 16 hingga akhir bulan Ramadhan.

Sunat hai'at

  1. Mengangkat kedua-dua belah tangan sehingga ibu jari bersetentangan dengan dua telinga ketika takbiratul ihram, hendak rukuk, i'tidal, dan ketika bangun berdiri sesudah tahiyyat awal.
  2. Meletakkan kedua-dua belah tangan di bawah dada ketika berdiri.
  3. Membaca doa iftitah.
  4. Membaca ta'awwuz sebelum al-Fatihah.
  5. Membaca "Amin" sesudah al-Fatihah.
  6. Membaca surah atau ayat al-Quran pada rakaat pertama dan kedua selepas al-Fatihah.
  7. Menguatkan bacaan pada rakaat pertama dan kedua solat Maghrib, Isyak dan Subuh, kecuali makmum.
  8. Membaca takbir pada tiap-tiap kali beralih daripada satu rukun fi'li kepada rukun fi'li yang lain.
  9. Memuji Allah SWT ketika bangkit daripada rukuk dan ketika berdiri.
  10. Meletakkan kedua-dua tapak tangan pada kedua-dua lutut ketika rukuk.
  11. Membaca tasbih ketika rukuk dan sujud.
  12. Ketika tahiyyat: tangan kanan di atas peha kanan dan tangan kiri di atas peha kiri; jari kiri diluruskan, jari tangan kanan digenggam kecuali jari telunjuk, yang digerakkan sedikit ke atas ketika membaca "illallah".
  13. Duduk iftirasy pada sekalian duduk dalam solat kecuali tahiyyat akhir, menduduki tapak kaki kiri dan kaki kanan ditegakkan, anak jarinya mengadap kiblat.
  14. Duduk tawarruk pada tahiyyat akhir, kaki kiri dibaringkan di bawah kaki kanan, punggung didudukkan ke lantai, kaki kanan ditegakkan dan anak jarinya mengadap kiblat.
  15. Memberi salam yang kedua.
  16. Memalingkan muka ke kanan semasa salam pertama dan ke kiri semasa salam kedua.

Perkara makruh dalam solat

  1. Mengerjakan solat ketika makanan yang diingini sedang terhidang.
  2. Membaca dengan nyaring (jahar) bacaan yang sepatutnya perlahan.
  3. Berdiri atas sebelah kaki atau merapatkan kedua-duanya.
  4. Menoleh ke kanan atau ke kiri (kecuali ada sebab tertentu).
  5. Menahan diri daripada buang air besar dan kecil.
  6. Mendongak atau menundukkan kepala dengan berlebihan ketika rukuk.
  7. Merapatkan kedua-dua siku ke rusuk, dan merapatkan perut ke kedua-dua peha ketika sujud (lelaki).
  8. Meninggalkan bacaan surah dalam rakaat pertama dan kedua.
  9. Meninggalkan takbir intiqalat (takbir berpindah daripada satu rukun ke rukun yang lain).

Perkara yang membatalkan solat

  1. Berkata-kata dengan sengaja.
  2. Bergerak tiga kali berturut-turut.
  3. Kedatangan hadas kecil atau besar.
  4. Terkena najis.
  5. Terbuka aurat.
  6. Berubah niat.
  7. Berpaling badan (dada) dari arah kiblat.
  8. Makan atau minum walau sedikit.
  9. Ketawa dengan mengeluarkan suara.
  10. Menangis hingga kedengaran suara.
  11. Memanjangkan rukun yang pendek.
  12. Murtad.
  13. Mendahului imam, atau terkemudian daripada imam, melebihi tiga pergerakan.

Waktu haram solat sunat yang tiada bersebab

  1. Waktu terbit matahari sehingga naik sekadar segalah.
  2. Waktu matahari di tengah langit sehingga gelincir matahari.
  3. Waktu matahari hendak tenggelam.
  4. Sesudah solat Asar sehingga Maghrib.
  5. Sesudah solat Subuh sehingga syuruk.

Solat yang mempunyai sebab tidak dilarang pada waktu-waktu ini, seperti solat qada, solat jenazah, solat tahiyyatul masjid, solat sunat wuduk dan sebagainya. Di Tanah Haram Makkah, tiada waktu ditegah untuk solat sunat (Bab 4).

Solat jenazah

  • Hukum: fardu kifayah.
  • Wanita juga boleh menunaikan solat jenazah berjemaah bersama-sama lelaki.
  • Biasa ditunaikan selepas selesai solat fardu, di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi hampir setiap hari.

Rukun solat jenazah

  1. Niat mendirikan solat jenazah.
  2. Berdiri bagi yang berkuasa.
  3. Empat kali takbir.
  4. Membaca al-Fatihah.
  5. Membaca selawat ke atas Nabi SAW (selepas takbir kedua).
  6. Doa ke atas mayat (selepas takbir ketiga).
  7. Salam.

Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang atas mayat ini, 4 takbir fardu kifayah, kerana Allah Ta'ala."

  1. Membaca al-Fatihah selepas takbir pertama.
  2. Berselawat selepas takbir kedua, sekurang-kurangnya:
  3. Berdoa bagi mayat selepas takbir ketiga, sekurang-kurangnya:
  4. Memberi salam selepas takbir keempat.
Selepas takbir kedua, sekurang-kurangnya

اللّٰهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ

Bacaan Allāhumma ṣalli ʿalā Muḥammad.

Maksud Ya Allah, berilah rahmat ke atas Muhammad.

Selepas takbir ketiga, sekurang-kurangnya

اللّٰهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ

Bacaan Allāhummaghfir lahū warḥamh.

Maksud Ya Allah, ampunilah dia dan rahmatilah dia (jika mayat lelaki). Jika mayat perempuan: Allāhummaghfir lahā warḥamhā. Jika mayat ramai: Allāhummaghfir lahum warḥamhum.

Solat Jumaat (wanita)

Siapa yang wajib solat Jumaat

Maksud "Solat Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang Islam dengan berjemaah, kecuali empat jenis manusia: hamba sahaya yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit."

Hadis riwayat Abu Daud dan al-Hakim

  1. Wanita tidak wajib solat Jumaat.
  2. Jika mereka solat juga, hendaklah duduk di kawasan yang ditetapkan.
  3. Selesai solat Jumaat, wanita tidak perlu solat Zohor.
  4. Lebih afdhal solat Zohor di kediaman sendiri.

Solat menghormati waktu

Ialah solat fardu yang didirikan oleh orang yang tidak ada kemudahan atau kemampuan untuk bersuci, atau berhalangan menggunakan air (faqid al-tahurain), contohnya di dalam kapal terbang, di dalam bas dan sebagainya.

  • Dia wajib mengulangi solatnya apabila sudah memperoleh kemudahan atau kemampuan untuk bersuci, jika waktu solat masih ada;
  • dan mengqada jika waktu solat telah luput.

Masbuq dan muwafiq

  • Muwafiq ialah makmum yang dapat membaca Surah al-Fatihah ketika imam berdiri dengan bacaan yang sederhana. Dia wajib menyempurnakan bacaan al-Fatihahnya.
  • Masbuq ialah makmum yang tidak dapat membaca al-Fatihah semasa imam berdiri. Dia tidak wajib menyempurnakan al-Fatihahnya, hanya membaca sekadar yang dapat dan rukuk bersama-sama imam.

Kaifiat solat dalam keadaan sakit

Lazimnya waris atau sesiapa jua boleh menolong orang sakit atau uzur untuk mengambil wuduk. Setelah itu, pastikan pesakit atau orang yang uzur itu mengadap kiblat mengikut keadaan dan daya kemampuannya, seperti berikut:

  1. Duduk iftirasy (seperti duduk antara dua sujud).
  2. Berbaring mengiring mengadap kiblat.
  3. Berbaring terlentang (kaki dan kepala mengadap kiblat).
  4. Isyarat kepala dan mata.
  5. Memadai dikerjakan solat dalam hati.

Di Masjid Haramain

  1. Niat iktikaf apabila masuk masjid.
  2. Solat sunat tahiyyatul masjid.
  3. Perbanyakkan solat sunat.
  4. Membaca al-Quran.
  5. Berzikir.
  6. Bersedekah.
  7. Menjauhi perbuatan haram, makruh dan lagha (sia-sia).
  8. Jika hendak berdoa, hendaklah mengadap kiblat.
  9. Sentiasa dalam keadaan berwuduk.

Qasar dan jamak

Qasar

Qasar ialah mengerjakan dua rakaat sahaja bagi solat Zohor, Asar dan Isyak, tidak bagi solat Maghrib dan Subuh. Syarat-syaratnya:

  1. Perjalanan itu diharuskan oleh syarak.
  2. Jauh perjalanan tidak kurang daripada dua marhalah (91 kilometer).
  3. Berniat qasar ketika takbiratul ihram.
  4. Tidak berimam dengan orang yang solat tamam (sempurna).
  5. Solat qasar itu terdiri daripada solat empat rakaat sahaja.

Jamak

Jamak ialah menghimpunkan solat Zohor dengan Asar, dan Maghrib dengan Isyak.

Jamak taqdimJamak ta'khir
Mengerjakan Zohor dan Asar dalam waktu Zohor, atau Maghrib dan Isyak dalam waktu MaghribMengerjakan Zohor dan Asar dalam waktu Asar, atau Maghrib dan Isyak dalam waktu Isyak

Syarat jamak taqdim:

  1. Mendahulukan solat Zohor daripada Asar, dan Maghrib daripada Isyak.
  2. Berniat jamak dalam solat pertama sebelum salam (afdhalnya ketika takbiratul ihram).
  3. Berturut-turut antara solat yang dijamakkan.
  4. Berkekalan perjalanan hingga takbiratul ihram solat yang kedua.
  5. Berkeyakinan adanya waktu solat pertama berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua.

Syarat jamak ta'khir:

  1. Berniat jamak dalam waktu solat yang pertama.
  2. Berkekalan perjalanan hingga memberi salam solat yang kedua.

Perhatian:

  1. Jamak ta'khir harus dikerjakan dengan menunaikan solat Asar diikuti Zohor, atau Isyak diikuti Maghrib. Sunat mendahulukan Zohor diikuti Asar, begitu juga Maghrib dengan Isyak, kecuali waktunya sempit dan tidak mencukupi untuk dua solat fardu, maka wajib didahulukan solat yang empunya waktu (sahib al-waqt).
  2. Solat jamak dikerjakan dengan dua azan dan dua iqamah.
  3. Jika dikerjakan berjemaah, makmum hendaklah berniat menjadi makmum dan imam berniat menjadi imam.

Solat jamak di Arafah dan Mina

  1. Harus menjamakkan solat fardu di Arafah dan Mina.
  2. Solat jamak itu secara tamam (tidak qasar).
  3. Sebab harus jamak:
    • kerana nusuk (ibadah);
    • kerana masyaqqah.

Mesyuarat Jawatankuasa Ibadat Haji 1427H/2006, rujukan kitab al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, Imam Abu Zakariya Muhyiddin bin Syaraf al-Nawawi, juz 4, halaman 384.

Bila musafir dan bila tidak

  • Sebaik sahaja tiba di Madinah, jemaah haji tidak dibenarkan menunaikan solat secara jamak atau qasar, kerana mereka telah terputus daripada status musafir; mereka telah mengetahui akan berada di Madinah selama lapan hari.
  • Sebelum bertolak ke Makkah, jemaah tidak dibenarkan menunaikan solat jamak atau qasar di hotel di Madinah kerana mereka belum memulakan musafir. Solat jamak atau qasar hanya boleh dilakukan setelah bas bergerak dan berhenti di masjid atau surau perhentian lebuh raya dalam perjalanan ke Makkah.
  • Begitu juga jemaah yang akan bergerak ke Arafah tidak dibenarkan menunaikan solat jamak atau qasar semasa di bangunan penginapan di Makkah, kerana jarak tidak mencukupi sebagai syarat qasar dan jamak.

Beberapa peringatan berkaitan solat

1. Meninggalkan solat. Hal ini adalah suatu kekufuran berdasarkan al-Quran, sunnah dan ijmak ulama.

Apakah yang memasukkan kalian ke dalam Saqar?

Maksud "Apakah yang membuat kalian masuk ke dalam neraka Saqar?" Mereka menjawab: "(Kerana) kami dahulu tidak termasuk orang yang mendirikan solat."

Surah al-Muddaththir 74:42–43

Perjanjian

Maksud "Perjanjian antara kami dengan mereka adalah solat; barang siapa meninggalkannya maka dia kafir."

Hadis riwayat Ahmad dan lain-lain

2. Melengah-lengahkan solat. "Sesungguhnya solat itu wajib atas orang beriman dalam waktu yang sudah ditentukan" (an-Nisa' 4:103). Melengah-lengahkan solat tanpa uzur yang dibolehkan syarak adalah berdosa besar. Rasulullah SAW menyifatkan orang yang menunggu matahari berada antara dua tanduk syaitan (hendak tenggelam), lalu berdiri mendirikan empat rakaat dengan sedikit mengingati Allah, sebagai "solat orang munafik" (riwayat Muslim).

3. Tidak berjemaah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. "Sesiapa yang mendengar seruan azan tetapi tidak memenuhinya, maka tiada solat baginya, kecuali kerana uzur" (riwayat Ibnu Majah).

4. Tidak tama'ninah dalam solat. Tama'ninah adalah rukun solat dan tidak sah solat tanpanya. Tama'ninah ertinya tenang ketika rukuk, i'tidal, sujud dan duduk antara dua sujud, tenang sampai tulang kembali pada posisi dan persendiannya, dan tidak tergesa-gesa berpindah daripada satu rukun kepada rukun yang lain.

Solat berjemaah di halaman Masjid Nabawi, Madinah.
Solat berjemaah di halaman Masjid Nabawi, Madinah.Gambar: Hadibeh · CC BY-SA 4.0